Kisah Arnab Dan Kura-Kura
Pada suatu
hari, Sang Kura-kura sedang berjalan perlahan-lahan mengambil angin pagi
di rimba. Tiba-tiba datang Sang Arnab yang memang terkenal antara
binatang yang pantas di rimba itu.
"Eh, Kura-kura, ada kau di sini, mahu ke mana kau?", kata Sang Arnab membuka bicara.
"Ya, Arnab, aku tak ke mana-mana saja berjalan-jalan", jawab Sang Kura-kura.
"Kura-kura-Kura-kura,
kasihan aku tengok kau ni, jalan pun lambat, bila kau mahu tiba ke
destinasi", ejek Sang Arnab yang memang dikenali suka mengejek yang
lemah.
"Tak apalah
Sang Arnab, dah dijadikan aku begini, aku redha", kata Sang Kura-kura
sambil terus berjalan meninggalkan Sang Arnab tadi.
Sang Arnab
masih tidak berpuas hati kerana Sang Kura-kura sepertinya tidak terkesan
akan sindirannya tadi. Lantas dia mengemukakan satu cabaran kepada Sang
Kura-kura dengan niat mahu mengenakan dan memalukannya.
"Apa kata kalau kita berlumba Kura-kura, saja aku mahu bersaing dengan kau",
"Tidak apalah Arnab", jawab Sang Kura-kura ringkas.
"Tak kira
Kura-kura kau mesti berlumba dengan aku juga besok, aku tunggu dekat
tebing sungai sana", kata Sang Arnab tidak mempedulikan kata-kata Sang
Kura-kura.
Keesokkan
harinya, seluruh rimba datang untuk menyaksikan perlumbaan antara Sang
Arnab dan Sang Kura-kura itu. Dengan Sang Kancil menjadi pengadilnya,
perlumbaan yang dijadualkan bermula dari tebing sungai, menelilingi
rimba dan tamat di tebing sungai kembali, perlumbaan itu dimulakan di
tengah-tengah hiruk pikuk penyokong kedua-dua peserta.
Dengan
pantasnya Sang Arnab berlari jauh meninggalkan Sang Kura-kura. Sedang
Sang Kura-kura berjalan perlahan-lahan melepasi garisan mula.
Setelah
beberapa ketika Sang Arnab berhenti di bawah sebatang pokok. Lalu dia
memerhatikan kalau-kalau ada kelibat sang Kura-kura di belakangnya.
"Ah, pasti
sudah jauh ku tinggalkan Kura-kura, garisan tamat pun dah dekat,
mengantuk pula aku, baik aku tidur sekejap, bila aku terjaga nanti
Kura-kura pasti belum memotong aku", fikir Sang Arnab.
Dengan rasa mengantuknya, Sang Arnab pun tidur di bawah pokok tersebut.
Tidak lama
kemudian, Sang Kura-kura tiba di pokok tempat Sang Arnab sedang tidur.
Dengan tidak mempedulikan Sang Arnab, Sang Kura-kura terus berjalan
menuju garisan penamat.
Selepas beberapa ketika, Sang Arnab terjaga dari tidurnya. Dengan tergesa-gesa dia berlari menuju garisan penamat.
"Ish, lama pula aku tidur, entah-entah Sang Kura-kura sudah memotong aku", getusnya sendiri.
Sesampainya
Sang Arnab di garisan penamat kelihatanlah Sang Kura-kura menerima
ucapan tahniah dari binatang-binatang rimba yang lain kerana memenangi
perlumbaan itu. Dengan rasa malunya Sang Arnab beredar pantas dari situ
kerana tewas kepada Sang Kura-kura sambil diketawakan para penghuni
rimba.
Nilai-Nilai Murni
Jangan sesekali memandang rendah terhadap orang yang lemah dan miskin. Setiap orang mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri
Comments
Post a Comment